Pelajar Kolej Agro Sains lemas, sepupu terselamat ketika mandi di Sungai Tembeling
Foto : Penduduk tempatan berada di tepi sungai untuk melihat penduduk dan nelayan sungai berusaha dalam operasi mencari.
Pelajar Kolej Agro Sains lemas, sepupu terselamat ketika mandi di Sungai Tembeling
JERANTUT – Seorang pelajar lelaki berusia 20 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Tembeling berhampiran Kampung Jong Berlaboh, Tembeling Tengah, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa, Meor Danish Abduh Midhat Abduh dikatakan pergi memancing bersama sepupunya yang berusia 23 tahun di kawasan berkenaan sebelum turun ke sungai untuk mandi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Arshad Ayob berkata, ketika berada di bahagian tengah sungai, mangsa tiba-tiba menjerit meminta tolong selepas dipercayai lemas.
“Sepupu mangsa cuba bertindak menyelamatkannya namun gagal apabila kakinya turut tersangkut dalam pasir jerlus di kawasan sungai berkenaan.
“Penduduk kampung yang berada di situ turut bertindak pantas melakukan operasi menyelamat,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis pada jam 12.15 tengah hari sebelum operasi pencarian awal dijalankan oleh penduduk kampung bersama pihak berkuasa.
“Mangsa akhirnya ditemukan pada jam 1.05 tengah hari di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan forensik hospital berkenaan mendapati punca kematian adalah akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu,” katanya.- SAHIH.
