Koperal belasah anggota tentera: Seorang koma, enam cedera
Koperal belasah anggota tentera: Seorang koma, enam cedera
BENTONG: Seorang anggota tentera dilaporkan koma manakala enam lagi cedera selepas dipercayai dipukul dalam kejadian di dalam Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini, pada 30 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima laporan berhubung kejadian itu pada 31 Mac kira-kira jam 8.45 pagi.
Menurutnya, laporan polis dibuat oleh bapa kepada salah seorang mangsa yang juga warga tempatan berusia 49 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang suspek iaitu anggota tentera berpangkat koperal dipercayai terbabit dalam kejadian dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
“Siasatan juga mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Katanya, mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan.
“Manakala lain-lain mangsa dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan serta rawatan lanjut sekiranya terdapat sebarang kecederaan,” katanya.
Zaiham berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada 31 Mac jam 2.30 petang bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.-SAHIH
