Pangguni Utthiram 2026 dijangka himpun hingga 100,000 pengunjung di Maran
Foto : Kuil Sri Marathandavar di Sungai Jerik
Pangguni Utthiram 2026 dijangka himpun hingga 100,000 pengunjung di Maran
MARAN – Kuil Sri Marathandavar di Sungai Jerik bakal menjadi tumpuan apabila antara 50,000 hingga 100,000 penganut agama Hindu serta pelancong dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri Perayaan Tahunan Pangguni Utthiram 2026 yang berlangsung dari 30 Mac hingga 1 April ini.
Sepanjang tempoh itu, kira-kira 10,000 kenderaan dijangka memasuki kawasan berkenaan, sekali gus memerlukan pengurusan trafik dan keselamatan yang rapi bagi memastikan kelancaran perayaan.
Kemuncak sambutan dijadualkan bermula pada 31 Mac (Selasa) jam 4 petang hingga 1 April (Rabu) jam 2 petang, melibatkan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk perarakan besar-besaran.
Ketua Polis Daerah Maran, Superitendan Wong Kim Wai, berkata, bagi menjayakan Op Pangguni 2026, seramai 47 pegawai dan 304 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bersama bantuan dari pelbagai bahagian serta daerah dalam Kontinjen Pahang telah digerakkan.
“Operasi ini turut disokong oleh agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Kesihatan bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kesiapsiagaan sepanjang perayaan.
“Pelbagai aset digunakan dalam operasi ini termasuk lapan kereta peronda, tiga van, satu unit GS kargo, satu unit kembalik serta enam motosikal trafik bagi tujuan pengiring termasuk eskot VIP, “ katanya.
Katanya, dalam pada itu, laluan utama di hadapan kuil berkenaan ditutup kepada semua kenderaan bermula 30 Mac (Isnin) jam 4 petang hingga 1 April (Rabu) jam 2 petang bagi memberi laluan kepada perarakan.
“Namun, laluan tersebut masih dibenarkan untuk penduduk setempat dan individu yang mempunyai urusan berhampiran. Orang ramai disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Simpang Bangas ke jalan utama Bandar Jengka bagi mengurangkan kesesakan trafik,” katanya.
Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan harta benda.
Antara langkah yang disarankan termasuk mengelakkan pemakaian barang kemas, sentiasa mengawasi anak-anak, mendapatkan bantuan di balai polis bergerak sekiranya berlaku kecemasan serta memastikan kenderaan sentiasa berkunci.
Pengunjung juga digalakkan membawa bekalan air mencukupi berikutan cuaca panas selain sentiasa peka terhadap persekitaran dan mematuhi arahan pihak berkuasa.-SAHIH.
