Wanita pertama Temerloh terima Anugerah 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026
Wanita pertama Temerloh terima Anugerah 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026
TEMERLOH – Penglibatan aktif lebih dua dekad dalam kerja kebajikan dan pemerkasaan wanita melayakkan seorang aktivis komuniti di daerah ini menerima Anugerah 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari Temerloh menerima pengiktirafan berprestij itu.
Majlis penyampaian anugerah berkenaan yang berlangsung pada 28 Mac lalu di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, menyaksikan penerima anugerah, Puan Rosyatina Wahab, 59, menerima pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam pembangunan komuniti sejak lebih 22 tahun lalu.

Menurutnya, dengan latar belakang akademik dalam bidang pembangunan sosial, beliau mengasaskan serta menerajui pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk program pemerkasaan ekonomi wanita, bantuan kebajikan serta advokasi hak sosial.
“Sepanjang kerjaya, saya bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta organisasi antarabangsa untuk melaksanakan projek berimpak tinggi yang menyentuh kehidupan ribuan individu.
“Antara pencapaian saya termasuk menganjurkan lebih 50 program pembangunan usahawan wanita di kawasan luar bandar yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 wanita termasuk bengkel kemahiran, latihan keusahawanan dan akses kepada mikropembiayaan,” katanya.
Rosyatina berkata, beliau turut bertindak sebagai mentor perniagaan serta pembangunan diri kepada lebih 100 wanita muda dan suri rumah, sekali gus membantu mereka membina keyakinan diri serta menjana pendapatan sendiri.
Beliau berkata, selain itu, kempen kesedaran sosial berkaitan hak wanita, keganasan rumah tangga serta pemerkasaan ibu tunggal turut dilaksanakan melalui forum awam, seminar dan kolaborasi bersama agensi kerajaan.
Rosyatina yang juga Pengerusi DewanNita Pahang DPMM bagi penggal 2025 hingga 2028, berkata beliau masih aktif menjalankan program komuniti selain berperanan sebagai penasihat, mentor dan urusetia penganjuran pelantikan bagi organisasi berfokus pembangunan sosial.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Exco Wanita kerajaan Pahang, Datuk Sabariah Saidan, selain Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli serta kepimpinan NGO setempat yang banyak memberi sokongan sepanjang penglibatan beliau sejak 1990.
Katanya, beliau turut merancang untuk menganjurkan majlis penghargaan kepada ahli gabungan NGO dan NGO bersekutu dalam masa terdekat sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan.-SAHIH
