Wawa Zainal sebak diraikan warga emas di PJMM sempena ulang tahun kelahiran
Foto : Aeril Zafrel melihat Wawa memotong Kek Pulut Kuning sempena sambutan hari kelahiran beliau sambil diperhatikan oleh Muhammad Syafiq Mohiadin dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Wawa Zainal sebak diraikan warga emas di PJMM sempena ulang tahun kelahiran
SEMENYIH – Usahawan kosmetik dan pelakon, Wawa Zainal tidak dapat menahan sebak apabila diraikan secara mengejut oleh warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di sini.
Kejutan tersebut berlangsung apabila warga emas mengalunkan lagu Allah Selamatkan Kamu serta Selamat Hari Jadi, diiringi kemunculan kek pulut kuning yang ditolak menggunakan troli oleh petugas pusat jagaan berkenaan.
Majlis itu diadakan bagi meraikan ulang tahun kelahiran Wawa yang ke-34, sekali gus membuatkan beliau yang hadir bersama suaminya, Aeril Zafrel, tidak dapat menahan air mata.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, kejutan berkenaan dirancang hasil cadangan warga emas sendiri yang sentiasa menantikan kehadiran pasangan itu setiap kali Ramadan.
“Semua perancangan ini dirahsiakan dan apabila kejutan berlangsung, ramai dalam kalangan warga emas turut sebak kerana menganggap Wawa dan Aeril seperti anak mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, tahun 2026 merupakan tahun ketiga pasangan suami isteri itu menyantuni penghuni PJMM dengan bertanya khabar serta berbuka puasa bersama.
Kehadiran Wawa bersama Aeril dan kakitangan syarikatnya adalah bagi menjayakan Majlis Wawa Ramadan Kasih ‘Berkongsi Rezeki Mengikat Hati’ yang berlangsung pada 13 Mac lalu.
Dalam majlis tersebut, mereka turut menaja iftar Ramadan, menyampaikan cenderamata, duit raya kepada warga emas serta sumbangan barangan keperluan harian.
Sementara itu, Wawa dalam ucapannya meluahkan rasa tersentuh dan bersalah kerana hanya berpeluang melawat warga emas di situ setahun sekali disebabkan kekangan kerja.
“Saya akan cuba tetapkan masa untuk datang lagi kerana saya sudah menganggap mereka seperti ibu bapa sendiri, lebih-lebih lagi menjelang Syawal,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran itu sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan warga emas terhadap anak-anak mereka.
Aeril pula berkata, walaupun sibuk menguruskan kerjaya dan perniagaan, mereka tetap berusaha meluangkan masa untuk bersama penghuni PJMM yang disifatkan seperti ‘rumah’ kedua mereka.
Menurutnya, beliau turut berasa sebak apabila mendapati beberapa warga emas yang pernah ditemui sebelum ini telah meninggal dunia akibat faktor usia dan penyakit.
“Saya berharap mereka dapat mendoakan kesejahteraan kami agar terus maju dalam perniagaan dan diberikan kesihatan yang baik untuk terus berkongsi rezeki,” katanya.-SAHIH
