Mahasiswa Palapes santuni warga emas melalui Program Pelita Mahabbah Ramadan
Foto : Anggota Palapes merakamkan kenangan bersama Shakila dan Mohiadin Bahado (duduk di tengah) selepas selesai program Pelita Mahabbah Ramadan bertemakan ‘Simpulan Cinta Menyantuni Warga
Mahasiswa Palapes santuni warga emas melalui Program Pelita Mahabbah Ramadan
BERANANG – Seramai 60 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) menterjemahkan nilai kejujuran, keikhlasan dan semangat keperwiraan yang diterapkan dalam latihan ketenteraan dengan menyantuni komuniti warga emas menerusi Program Pelita Mahabbah Ramadan bertemakan ‘Simpulan Cinta Menyantuni Warga Emas’ di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 5 Mac lalu.
Program anjuran Exco Palapes di bawah Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut mendapat kerjasama Palapes Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI (Kasih).
Pengarah program, Muhammad Adam Aziean berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan menyemai nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa khususnya anggota Palapes melalui aktiviti kebajikan bersama warga emas.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memberi kegembiraan serta sokongan moral kepada penghuni pusat jagaan berkenaan, malah menjadi medium membentuk sahsiah mahasiswa yang seimbang, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
“Melalui aktiviti yang dijalankan, anggota Palapes dapat merasai sendiri erti memberi dan berkongsi, sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan serta memperkukuh jati diri sebagai bakal pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai nilai kemanusiaan tinggi,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan turut mengeratkan ukhuwah antara anggota Palapes dari pelbagai institusi pengajian tinggi, selain memberi peluang kepada mereka bekerjasama dalam aktiviti kebajikan yang jarang dilaksanakan secara bersama.
Antara aktiviti dijalankan termasuk permainan pemanas badan (energizer games), gotong-royong membersihkan kawasan dalam dan luar PJNH termasuk bilik penghuni serta stor simpanan barangan.
Sebahagian anggota Palapes turut membantu memasak juadah berbuka puasa sebelum program diakhiri dengan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Majlis perasmian program disempurnakan Penasihat program, Shakila Mohd Idris. Turut hadir Pengetua Kolej Aminuddin Baki UPSI, Zulkifli Mamat; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado dan Pengurus PJNH, Kairul Ahmad.
Shakila berkata, program berkenaan membuktikan komitmen tinggi serta disiplin anggota Palapes dalam berkhidmat kepada masyarakat, khususnya membantu meringankan tugas pengurusan pusat jagaan berkenaan.
Beliau berharap nilai kemasyarakatan seperti keprihatinan dan kesukarelawanan dapat terus dipupuk dalam kalangan anggota Palapes agar mereka terus menabur bakti kepada masyarakat walau di mana berada.
“Program seperti ini memberi pengalaman baharu serta menjadi teladan baik kepada mahasiswa untuk terus menyumbang khidmat sukarela kepada masyarakat dalam apa jua keadaan,” katanya.-SAHIH.
