1,494 anggota KOSMA terima durian runtuh menjelang Aidilfitri
1,494 anggota KOSMA terima durian runtuh menjelang Aidilfitri
JERANTUT: Seramai 1,494 anggota Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) bakal menerima durian runtuh menjelang sambutan Aidilfitri apabila koperasi itu mengagihkan dividen unit ladang dengan jumlah keseluruhan mencecah RM30.62 juta.
Anggota koperasi terbabit akan menerima pendahuluan dividen bagi satu unit ladang sebanyak RM6,000 seorang, meningkat berbanding RM5,500 yang diterima pada tahun lalu.
Baki dividen pula dijangka dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun ini, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengagihan dividen dan bonus raya itu diharap dapat meringankan beban anggota koperasi serta menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
Menurutnya, pembayaran pendahuluan dividen satu unit ladang itu melibatkan peruntukan sebanyak RM8.964 juta, manakala bonus raya RM2,000 kepada setiap anggota membabitkan jumlah keseluruhan RM2.986 juta.
“Ini merupakan kadar bayaran tertinggi pernah diberikan kepada anggota KOSMA. Sebelum ini kita hanya membayar RM5,500 bagi satu unit ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas prestasi kewangan koperasi berkenaan yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Zamri Muhamed dan barisan Ahli Lembaga Pengarah.
Menurutnya, pendapatan ladang KOSMA meningkat kepada RM224.88 juta pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih turut melonjak kepada RM177.63 juta berbanding RM134.3 juta pada tahun sebelumnya.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu membuktikan pengurusan koperasi yang cekap selain usaha berterusan lembaga pengarah serta pengurusan KOSMA dalam meningkatkan prestasi syarikat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada lembaga pengarah, pengurusan serta semua anggota KOSMA atas kejayaan yang sangat membanggakan ini,” katanya.
Beliau berkata, baki dividen unit ladang bagi anggota yang memiliki lebih daripada satu unit akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan dan selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.-SAHIH.
