Pimpinan Bersatu Lipis isytihar letak jawatan, hilang kepercayaan terhadap presiden
Pimpinan Bersatu Lipis isytihar letak jawatan, hilang kepercayaan terhadap presiden
LIPIS – Jawatankuasa Bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Lipis mengisytiharkan pembubaran kepimpinan mereka berkuat kuasa serta-merta selepas sebulat suara memutuskan untuk meletak jawatan.
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri ketua bahagian, timbalan, naib ketua bahagian serta barisan ahli jawatankuasa dan wakil cawangan.
Menurut Ketua Bahagian Bersatu Lipis, Nor Alias Ibrahim berkata, tindakan berkenaan dibuat susulan kekecewaan mendalam akar umbi terhadap kepimpinan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
“Mereka mendakwa kemelut dalaman parti yang berlarutan hampir setahun gagal ditangani dengan berkesan, sekali gus menjejaskan keyakinan kepimpinan di peringkat bahagian.
“Kami melihat presiden tidak berjaya mengawal krisis yang berlaku dan tiada langkah konkrit diambil untuk memulihkan keadaan,” katanya.
Katanya, selain itu, kepimpinan bahagian turut mempersoalkan peranan Setiausaha Agung, Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta mengambil tindakan yang dianggap menjejaskan parti.
“Kami berpendapat tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan dilihat seolah-olah mendapat restu presiden, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
“Beberapa tindakan pemecatan terhadap ketua bahagian, ahli parti dan wakil rakyat yang menyuarakan pandangan turut menambah ketegangan dalam parti. Malah, pemecatan Timbalan Presiden baru-baru ini disifatkan sebagai kemuncak kepada krisis dalaman yang berlaku,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, kepimpinan Bersatu Lipis menyifatkan keputusan meletak jawatan sebagai langkah terakhir demi prinsip dan pendirian mereka, selain menegaskan tindakan tersebut dibuat secara kolektif serta tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Perkembangan itu dijangka memberi kesan kepada struktur organisasi parti di peringkat bahagian dan cawangan di kawasan Lipis, “ katanya.-SAHIH.
