PMX turun Bentong, bincang pembangunan Pahang
PMX turun Bentong, bincang pembangunan Pahang
BENTONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan lawatan kerja ke daerah Bentong bagi menghadiri Sesi Taklimat Pembangunan Negeri Pahang.
Lawatan berkenaan turut diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sesi taklimat itu berlangsung di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, dan membincangkan hala tuju pembangunan negeri termasuk aspek tadbir urus, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan dasar yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Kehadiran kepimpinan tertinggi negara itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan Pahang bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menurut sumber, lawatan kerja Perdana Menteri itu juga membuktikan kesepaduan komitmen antara Kerajaan Pusat dan kerajaan Pahang dalam memperkasa pentadbiran, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta memastikan setiap inisiatif dilaksana secara menyeluruh dan berkesan.
“Sinergi erat pusat dan negeri ini diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan yang seimbang, inklusif dan berterusan, khususnya untuk rakyat Bentong,” katanya.
Lawatan berkenaan turut dilihat sebagai isyarat sokongan terhadap usaha memperkukuh kebajikan rakyat termasuk komuniti Felda, anak Felda serta masyarakat luar bandar yang menjadi tunjang pembangunan negeri.
Lawatan kerja Perdana Menteri ke Pahang hari ini selari dengan aspirasi Pahang1st yang menekankan prinsip rakyat didahulukan dan kemakmuran negeri dipertahankan.-SAHIH
