Penunggang maut, isteri parah rempuh sebuah jip buat pusingan U
Penunggang maut, isteri parah rempuh sebuah jip buat pusingan U
Jerantut: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah jip di Kilometer 13, Jalan Jerantut–Temerloh, berhampiran Kampung Tebing Tinggi, petang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, mangsa, Noor Aizat Abu Bakar, 44, yang bekerja sebagai pemandu di Hospital Jerantut, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, yang membonceng motosikal Yamaha MT-09, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Jerantut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Mohd Azahari Muktar, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa sedang bergerak lurus dari arah Jerantut menuju Temerloh apabila sebuah jip Nissan X-Trail yang dipandu lelaki berusia 73 tahun tiba-tiba membuat pusingan-U dari lorong kiri ke kanan jalan di lokasi yang tidak dibenarkan.
“Perlanggaran tidak dapat dielakkan menyebabkan motosikal remuk hampir keseluruhan, manakala jip mengalami kerosakan di bahagian kanan. Pemandu jip berkenaan yang juga pesara dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 8 malam mengesahkan punca kematian mangsa akibat polytrauma, disahkan oleh pegawai perubatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.-SAHIH.
