Bas Terbakar, 19 Penumpang Selamat
Bas Terbakar, 19 Penumpang Selamat
RAUB – Seramai 19 penumpang sebuah bas terselamat dalam kejadian kebakaran di Lebuh Raya Mempaga berhampiran Kampung Lurah Bilut, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.41 petang, bahagian enjin bas itu dipercayai terbakar ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan menuju arah Raub.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata bas berkenaan membawa 15 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang pemandu.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub tiba pada jam 5.02 petang dan mendapati kebakaran pada bahagian enjin dengan anggaran kemusnahan lima peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal lebih awal selepas orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja penyejukan menggunakan satu aliran hos dari jentera FRT bagi memastikan tiada kebakaran berulang.
Operasi diketuai PBK II (KUP) Asmadi Dahlan bersama tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.24 petang.-SAHIH
