Kerajaan tekad perkasa penjaja dan peniaga kecil
Kerajaan tekad perkasa penjaja dan peniaga kecil
TEMERLOH – Kerajaan komited memperkasa penjaja dan peniaga kecil sebagai tunjang utama kepada pertumbuhan ekonomi MADANI, kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyampaikan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, di Temerloh sini, hari ini.
Beliau berkata, penjaja dan peniaga kecil memainkan peranan penting sebagai tulang belakang ekonomi negara melalui keupayaan menjana peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan domestik dan memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh serta inklusif.
“Kerajaan mengiktiraf sumbangan besar komuniti penjaja dan peniaga kecil yang turut menjadi penggerak utama ekonomi MADANI,” katanya.

Menurutnya, sumbangan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024 berjumlah RM652.4 bilion, melibatkan 8.1 juta pekerja, membuktikan keupayaan besar sektor berkenaan dalam memacu ekonomi negara.
Katanya, kerajaan bertekad mempertingkat penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan berdaya maju menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan dan pembangunan kapasiti, selaras dengan sasaran meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030 seperti digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
“Melalui pelaksanaan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030, usaha memperkukuh komuniti penjaja akan digerakkan secara menyeluruh dengan bimbingan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai peneraju utama,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seperti Program Jajahan Rakyat oleh KUSKOP dan Bank Rakyat turut memperluas akses digital kepada penjaja dan peniaga kecil, mempercepatkan transformasi tanpa tunai serta meningkatkan kecekapan perniagaan selaras dengan agenda Malaysia MADANI.-SAHIH
