YKBM & Beras Faiza santuni komuniti Taman Tualang
YKBM & Beras Faiza santuni komuniti Taman Tualang
TEMERLOH: Yayasan Kita Bangsa Malaysia (YKBM) terus komited dalam misi kebajikan apabila menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas termasuk beras Faiza kepada penduduk memerlukan di Taman Tualang, di sini.
Majlis penyerahan disempurnakan Pengerusi YKBM, Jamil Yaakob dengan kerjasama strategik Beras Faiza Sdn Bhd, sebagai sebahagian usaha berterusan yayasan itu memperkukuh jaringan komuniti Madani di peringkat akar umbi.
Sumbangan diserahkan kepada Md Zamri Md Isa, selaku Ketua Komuniti Madani Taman Tualang, untuk diedarkan kepada keluarga kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.
Menurut Jamil, inisiatif itu bukan sekadar program agihan barangan, tetapi tanda keprihatinan YKBM terhadap nasib rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“YKBM berpegang pada prinsip kebersamaan membina bangsa. Kita mahu rakyat rasa bahawa mereka tidak dipinggirkan. Dengan kerjasama jenama prihatin seperti Beras Faiza, kita dapat menyentuh lebih banyak hati dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, program itu juga akan diperluas ke kawasan lain termasuk komuniti Taman , kampung tradisional dan kawasan pedalaman di Pahang sebagai fasa seterusnya dalam agenda kemanusiaan YKBM.
Sementara itu, Md Zamri menzahirkan penghargaan kepada YKBM dan Beras Faiza atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada komuniti tempatan.

“Kami akan pastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasar termasuk ibu tunggal, warga emas dan keluarga B40 yang memerlukan,” katanya.
Program itu turut disertai sukarelawan YKBM dan wakil penduduk setempat dalam suasana penuh mesra dan semangat gotong-royong.-SAHIH
