Suspek samun berkemungkinan sama di Taman Temerloh Jaya Jaya
Suspek samun berkemungkinan sama di Taman Temerloh Jaya Jaya
TEMERLOH: Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang menyamun seorang wanita di Taman Jaya, di sini kelmarin, adalah individu sama terbabit dalam kes samun warga emas di Taman Temerloh Jaya sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 3.30 petang, seorang wanita berusia 50 tahun cedera di leher selepas rantai emas yang dipakainya direntap suspek ketika sedang tidur di ruang tamu rumahnya.
“Suspek dipercayai lelaki Melayu berkulit gelap berpakaian serba hitam masuk ke dalam rumah dan bertindak merentap rantai emas yang dipakai mangsa sehingga putus.
“Dia turut cuba merampas gelang emas di tangan mangsa namun gagal sebelum melarikan diri menaiki motosikal jenis skuter yang tidak dapat dipastikan jenisnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Nasyim, mangsa mengalami kesan lelasan pada bahagian leher akibat direntap, dan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM10,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menyebabkan kecederaan,” katanya.
Polis giat buru suspek dipercayai individu sama
Mohd Nasyim berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta memastikan pintu dan tingkap rumah dikunci rapi bagi mengelak menjadi mangsa jenayah.
Pada 23 Oktober lalu, seorang wanita warga emas berusia 78 tahun turut disamun di rumahnya di Taman Temerloh Jaya oleh seorang lelaki berkulit gelap. Dalam kejadian itu, suspek melarikan gelang tangan emas dan sebuah telefon bimbit, manakala mangsa mengalami lebam serta luka kecil di pergelangan tangan.
Polis kini giat mengesan suspek yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan perumahan terbabit dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua kejadian dilakukan individu sama.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Balai Polis Temerloh atau menghubungi ASP Mohd Zaidin di talian 012-9002902 bagi membantu siasatan,” katanya.-SAHIH
