Jalan Luar Bandar Terus Diperkasa – Zahid
Jalan Luar Bandar Terus Diperkasa – Zahid
LIPIS: Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh komitmen membangunkan infrastruktur luar bandar termasuk pembinaan serta penyelenggaraan jalan perhubungan desa melalui kerjasama erat dengan kerajaan negeri di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan besar disalurkan kepada kementeriannya bagi pembangunan jalan luar bandar dalam Belanjawan 2026.
Beliau berkata, kebanyakan kementerian lain menumpukan kepada perbelanjaan pengurusan, namun KKDW memperuntukkan sebahagian besar bajetnya untuk pembangunan infrastruktur fizikal seperti jalan, bekalan air dan elektrik di kawasan pedesaan.
“Dalam belanjawan kali ini, antara perbelanjaan pembangunan tertinggi diberikan kepada KKDW bagi memastikan jaringan jalan luar bandar terus diperluas, termasuk di Sabah, Sarawak dan Pahang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek jalan luar bandar di Majlis Perasmian Jalan dan Jambatan Kg Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kg Gemunchur dan Kg Mela, Kuala Lipis.
Ahmad Zahid menjelaskan, pembinaan jalan di kawasan luar bandar bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah menjimatkan masa perjalanan selain membuka peluang ekonomi baharu.
“Contohnya, ada jalan lama yang mengambil masa sejam untuk dilalui, kini dengan jalan baharu ia hanya mengambil masa 15 minit. Ini menunjukkan kesan langsung terhadap taraf hidup penduduk setempat,” katanya.
Menurut beliau, antara keutamaan KKDW ialah memperkukuh Jalan Perhubungan Desa (JPD) serta menaik taraf laluan sedia ada yang menjadi nadi pergerakan utama bagi komuniti luar bandar.
Katanya, pelancaran dan penyerahan projek jalan baharu kepada kerajaan negeri menandakan kerjasama kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Selepas jalan siap, ia diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan melalui MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) bagi tujuan penyelenggaraan. Ini simbolik kepada hubungan sinergi dua hala yang saling melengkapi,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, permohonan tambahan bagi projek baharu turut diterima daripada beberapa Ahli Parlimen dan Menteri Besar yang mahu laluan luar bandar di kawasan masing-masing dipertingkatkan.
“Kita tahu ada banyak lagi jalan yang perlu dinaik taraf bagi menyesuaikan dengan keperluan dan standard kehidupan semasa rakyat di pedalaman,” katanya.
Tambahnya, penyelenggaraan jalan luar bandar kekal menjadi tanggungjawab kerajaan negeri melalui MARRIS, manakala jalan-jalan Persekutuan akan terus diurus KKDW serta agensi teknikal berkaitan seperti JKR negeri dan daerah.
“Kerajaan Persekutuan membina, kerajaan negeri menyelenggara. Itulah bentuk kerjasama terbaik demi kesejahteraan rakyat luar bandar,” katanya.- SAHIH