Penunggang motosikal maut, percutian sekeluarga ke Cameron Highlands tertangguh
Penunggang motosikal maut, percutian sekeluarga ke Cameron Highlands tertangguh
LIPIS : Hasrat sebuah keluarga untuk bercuti ke Cameron Highlands tertangguh apabila mereka terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Kilometer 22, Jalan Sungai Koyan – Cameron Highlands, berhampiran Kampung Meter, Sungai Koyan, di sini, petang semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Tuan Zulhilmi Tuan Zulkefly, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditungganginya bertembung secara berhadapan dengan sebuah kereta kira-kira 2.00 petang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man, berkata siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Marang, Terengganu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha R25.
“Kereta jenis Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun pula sedang menuju ke Cameron Highlands dari arah Kuantan bersama keluarga untuk bercuti.
“Siasatan awal menunjukkan pertembungan berlaku secara berhadapan, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan ” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran. SAHIH.