Remaja perempuan dilapor hilang selepas keluar rumah di Bentong
Remaja perempuan dilapor hilang selepas keluar rumah di Bentong
BENTONG: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Apartment Taman Gemilang di sini, semalam.
Mangsa, Nur Aina Faqihah binti Sharizan, dilaporkan hilang selepas keluar menaiki perkhidmatan e-hailing Grab dari kediamannya kira-kira jam 6.35 pagi menuju ke sebuah pasar raya di Taman Gemilang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata laporan kehilangan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari sama.
“Remaja berkenaan dipercayai keluar memakai baju biru dan seluar bercorak petak-petak. Kali terakhir dilihat di kawasan Kampung Chamang, berhampiran kedai runcit Sarah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, mangsa berkulit sawo matang, mempunyai ketinggian lebih kurang 154 sentimeter, berat 46 kilogram dan berbadan sederhana.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja terbabit supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong di talian 09-2231999.-SAHIH