MyInfoBencanaJKM Percepat Penyaluran Bantuan Mangsa Bencana
Foto : Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan aplikasi MyInfoBencanaJKM (MyIBJKM) sebagai sistem pendaftaran tunggal mangsa bencana sempena pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Padang FA Jerantut, Pahang, semalam.-Ihsan Pahang Media.
MyInfoBencanaJKM Percepat Penyaluran Bantuan Mangsa Bencana
JERANTUT – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan aplikasi MyInfoBencanaJKM (MyIBJKM) sebagai sistem pendaftaran tunggal mangsa bencana sempena pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Padang FA Jerantut, Pahang, semalam.
Aplikasi dibangunkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bertujuan mempercepat penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 serta BWI Kematian berjumlah RM10,000 kepada mangsa bencana melalui kaedah electronic fund transfer (EFT) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).
Setakat ini, lebih 75,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah berdaftar dalam sistem tersebut, menghampiri sasaran 85,000 pendaftaran, dengan Kelantan dan Terengganu mencatat jumlah tertinggi iaitu 47 peratus daripada keseluruhan pengguna.
Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya sejak 1 Oktober 2015, atas peranan sebagai peneraju pengurusan bencana negara melalui pelaksanaan Arahan NADMA No.1 yang memastikan koordinasi agensi secara profesional dan berkesan.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan Sijil Rakan NADMA NGO kepada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) sebagai simbol jalinan kerjasama strategik antara kerajaan, NGO, sektor korporat dan akademia dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana serta bantuan kemanusiaan.
Beliau turut melancarkan buku “Banjir: Fakta dan Mitigasi” karya Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, yang membincangkan risiko perubahan iklim dan langkah mitigasi banjir di Malaysia.
BKN 2025 bertemakan “Sentiasa Siaga, Bencana Terjaga”, menekankan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat selaras dengan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction dan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah.-SAHIH.