FELDA JENGKA 24 TERIMA PERUNTUKAN RM99,800 PROGRAM SEJATI MADANI
Jerantut – Kejayaan dan semangat gotong-royong warga FELDA Jengka 24 terus mendapat perhatian apabila rancangan itu menerima peruntukan berjumlah RM99,800 di bawah Program Sejati Madani yang disampaikan pada 8 Oktober lalu.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam penilaian Anugerah Keceriaan Rancangan Felda (AKRF) tahun ini, termasuk pengurusan FELDA, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), KAF, badan masjid serta sekolah rendah dan menengah di rancangan itu.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen tinggi dan semangat kerjasama yang ditunjukkan semua lapisan masyarakat FELDA yang sanggup turun bergotong-royong walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Tahniah dan terima kasih kepada GPW yang bertungkus-lumus beberapa bulan lalu demi keceriaan rancangan. Terima kasih juga kepada ketua blok lelaki dan generasi baharu yang turut sama membantu dengan baik,” katanya.
Razak turut memuji kumpulan kesenian gendang yang memeriahkan penilaian AKRF, selain para pengusaha serta penternak yang sudi menerima lawatan daripada panel penilai.
“Segala teguran daripada juri akan diambil kira untuk penambahbaikan pada masa akan datang. Usaha ini bukan sekadar pertandingan, tapi menjadi ibadah dan lambang kemufakatan kita semua,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga memohon maaf kepada semua pihak sekiranya terdapat kekurangan sepanjang proses penilaian berlangsung.
“Saya hargai semangat gotong-royong semua pihak. Wanita hebat, wanita kuat – itulah kekuatan FELDA Jengka 24 dengan sokongan padu kepimpinan JKKR dan pengurusan FELDA,” katanya.
Razak berharap semangat kerjasama yang dizahirkan dapat diteruskan demi memastikan kawasan rancangan sentiasa bersih, ceria dan harmoni.
Peruntukan yang diterima melalui inisiatif MySejaTi Madani itu dijangka dimanfaatkan untuk projek pembangunan komuniti, keceriaan kawasan dan aktiviti sosial FELDA Jengka 24 selaras dengan aspirasi FELDA MADANI.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!