Cave Out Cancer: Mencari Harapan di Tengah Kegelapan Gua
Foto : Seramai 16 sukarelawan termasuk dua pejuang kanser menyertai ekspedisi dua fasa ini. Fasa pertama berlangsung di Racer Cave dan Stone Horse Cave, Mulu, Sarawak dari 11 hingga 14 September, sebelum diteruskan ke Gua Kota Gelanggi, Pahang dari 19 hingga 21 September.
Cave Out Cancer: Mencari Harapan di Tengah Kegelapan Gua
JERANTUT – Ekspedisi amal Cave Out Cancer anjuran Majlis Kanser Nasional (MAKNA) berjaya mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser kurang berkemampuan melalui cabaran menakluki gua ikonik di Malaysia.
Seramai 16 sukarelawan termasuk dua pejuang kanser menyertai ekspedisi dua fasa ini. Fasa pertama berlangsung di Racer Cave dan Stone Horse Cave, Mulu, Sarawak dari 11 hingga 14 September, sebelum diteruskan ke Gua Kota Gelanggi, Pahang dari 19 hingga 21 September.
Ketua projek, Ilham Hafifi, menyifatkan keberanian peserta sebagai inspirasi, dedikasi mereka, khususnya dua pejuang kanser, membuktikan bahawa kanser bukan halangan untuk terus berjuang.
Salah seorang peserta, Amir Nur Azizi, yang juga pejuang kanser, berkongsi semangat dan kecekalan dirinya.
“Saya menempuh laluan ini untuk setiap pejuang kanser, sebagai peringatan bahawa walaupun hidup terasa gelap, sinar harapan pasti akan tiba.
“Saya berasa jangan jadi halangan diri kita sebagai penghalang dalam mencari sesuatu yang orang biasa boleh lakukan,” katanya.
Semua dana yang dikumpulkan akan disalurkan sepenuhnya kepada MAKNA untuk menampung rawatan pesakit kanser kurang berkemampuan.
Orang ramai yang ingin menyokong usaha ini boleh menyalurkan sumbangan melalui laman web rasmi dan media sosial MAKNA.-SAHIH.