4 Lelaki Ditahan, Heroin & Syabu Bernilai RM14,700 Dirampas
4 Lelaki Ditahan, Heroin & Syabu Bernilai RM14,700 Dirampas
BERA – Taktik sekumpulan lelaki menjadikan ladang kelapa sawit sebagai ‘pot dadah’ akhirnya terbongkar apabila polis menahan empat individu dalam dua serbuan berasingan di Felda Bukit Puchong, Triang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, serbuan pertama jam 10 pagi dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.
“Dalam serbuan itu, tiga lelaki Melayu berusia 39, 43 dan 44 tahun ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 529.52 gram, syabu 13.34 gram serta wang tunai berjumlah RM530.
“Pasukan serbuan yang masih berkawal di lokasi sama kemudian berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan RM14,706.40, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis morfin.
Selain itu, polis turut menyita tiga kenderaan milik suspek bernilai kira-kira RM13,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Hasil semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik. Mereka kini direman tujuh hari bermula 26 Ogos hingga 1 September bagi membantu siasatan,” katanya.
Zulkiflee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan polis selama tiga tahun,” katanya.-SAHIH