KEMBARA KETUA POLIS PAHANG 2025 – “MENYUSURI AKAR, MENYANTUNI KOMUNITI”
KEMBARA KETUA POLIS PAHANG 2025 – “MENYUSURI AKAR, MENYANTUNI KOMUNITI”
CAMERON HIGHLANDS – Kembara Ketua Polis Pahang 2025 diadakan dengan penuh semangat melibatkan penyertaan aktif warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta komuniti setempat.
Program dimulakan dengan aktiviti pembersihan sungai di Parit Fall yang diketuai oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan aktiviti ini menjadi simbolik komitmen PDRM dalam menjaga kelestarian alam sekitar di samping menyemai rasa tanggungjawab bersama masyarakat terhadap penjagaan alam semula jadi.

Selepas itu, rombongan meneruskan program dengan jamuan makan tengah hari di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), disusuli bacaan doa oleh Ustaz Mohd Shukri Osman dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) IPK Pahang. Sesi bergambar turut diadakan sebelum upacara pelepasan konvoi (Flag Off).
Acara kemuncak adalah pelepasan konvoi yang disempurnakan oleh Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MDCH, YDH Encik Muhammad Safwan Izzat bin Rosli, bersama Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superitendan Azri Ramli serta Timbalan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Aziz Abdullah. Pelepasan itu menandakan pergerakan peserta ke destinasi seterusnya, iaitu Daerah Lipis.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat, malah turut menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan. Semangat kebersamaan, tanggungjawab sosial serta cintakan negara jelas terpancar sepanjang program berlangsung.-SAHIH.