Pangsapuri Pahangku Bentong Tarik Golongan Muda Miliki Rumah Mampu Milik
Pangsapuri Pahangku Bentong Tarik Golongan Muda Miliki Rumah Mampu Milik
BENTONG – Kerajaan Negeri Pahang melancarkan projek perintis Pangsapuri Pahangku berhampiran Stesen ECRL Bentong yang bakal menawarkan lebih 1,000 unit rumah mampu milik khusus untuk golongan muda.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek di atas tanah seluas 6.5 ekar itu merangkumi empat blok pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi setiap unit dengan tiga bilik tidur.
“Lokasi ini strategik kerana berhampiran stesen ECRL yang menghubungkan Bentong dengan Lembah Klang, Kuantan dan Pantai Timur. Ia memberi peluang kepada anak muda memiliki kediaman selesa dengan akses pengangkutan efisien,” katanya pada Majlis Perasmian Tanah Perumahan Pangsapuri Pahangku di sini, hari ini.
Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 63 peratus penduduk Bentong adalah golongan muda dan bekerja, menjadikan projek itu menepati keperluan semasa.
Harga rumah akan diumumkan kemudian namun dijamin berpatutan.

Menteri Besar Pahang
Wan Rosdy berkata, pelaksanaan projek itu adalah langkah proaktif Kerajaan Negeri membangunkan kawasan dalam lingkungan 16 kilometer radius stesen ECRL di Pahang, selaras Aspirasi Pahang 1st dan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30).
“Pahang menjadi perintis projek ini kerana jajaran ECRL terpanjang berada di negeri ini iaitu 224 kilometer melibatkan tujuh stesen. Kejayaan di Bentong akan diperluas ke Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Pelabuhan Kuantan dan Cherating,” katanya.
Mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya kehadiran besar-besaran penyokong pembangkang di Kuala Lipis sebagai tanda pengaruh mereka, Wan Rosdy menegaskan ia sekadar provokasi.
“Kerajaan Negeri tidak akan tunduk pada politik kebencian dan fitnah, sebaliknya membalas dengan bukti pencapaian yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.-SAHIH