Warga Felda sambut baik pelantikan semula Pengerusi Felda
Warga Felda sambut baik pelantikan semula Pengerusi Felda
JERANTUT – Warga peneroka Felda menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan penuh rasa syukur dan harapan baharu.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pelantikan semula tokoh itu diyakini mampu mengembalikan kegemilangan Felda seperti dahulu serta melonjakkan nama agensi berkenaan ke pentas dunia menerusi slogan Felda Mendunia.
“Warga Felda amat gembira dan mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Kami yakin beliau dapat membawa kejayaan Felda ke tahap lebih membanggakan.
![]()
“Kita juga berharap beliau dapat memulihkan semula ekonomi Felda, khususnya memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terus terbela seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Razak, pihaknya turut menaruh harapan agar Felda dapat mengambil semula keseluruhan pegangan saham sebanyak 91 peratus dalam FGV Holdings Bhd. demi memastikan pengurusan dan pentadbiran Felda lebih mantap dan menyeluruh.
“Langkah itu penting bagi membolehkan Felda mengawal sepenuhnya hala tuju syarikat serta menjamin kepentingan peneroka dalam jangka panjang.
“Kami percaya kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery akan terus memperjuangkan nasib warga peneroka dan menjadikan Felda sebagai model pembangunan tanah yang disegani dunia,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan konsisten dan berwawasan mampu memacu Felda ke arah lebih mampan sejajar cabaran ekonomi semasa dan global.-SAHIH
