Konflik dalaman PKR, BERSATU rai peluang kukuh pengaruh
Konflik dalaman PKR, BERSATU rai peluang kukuh pengaruh
SELANGOR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Langat menyifatkan kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai satu peluang untuk mengukuhkan pengaruh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, pihaknya bersikap terbuka menerima keahlian baharu termasuk daripada bekas ahli PKR yang tidak lagi sehaluan dengan parti asal mereka.
“Konflik susulan pemilihan PKR berpotensi menyebabkan perpecahan, dan kami percaya ramai yang sedang menilai hala tuju baharu perjuangan mereka.
BERSATU Hulu Langat bersedia menerima sesiapa yang mahu bersama dalam perjuangan yang lebih selari dengan prinsip mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, data tempatan menunjukkan peningkatan sokongan kepada BERSATU di Hulu Langat, sekaligus memberi keyakinan kepada parti itu untuk merampas semula kerusi Parlimen kawasan tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).
“BERSATU kini mempunyai 41 cawangan aktif di Hulu Langat dan jumlah keahlian terus mencatat pertambahan setiap bulan. Kami menjangkakan trend ini berterusan, khususnya selepas pemilihan PKR nanti,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak wujud halangan signifikan terhadap penyertaan bekas ahli PKR ke dalam BERSATU di Selangor kerana kepimpinan negeri kini diterajui oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Situasi ini memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional untuk memperkukuh kedudukan dan meraih lebih banyak sokongan di Selangor menjelang PRU-16,” katanya.-SAHIH