Aktiviti Lombong Emas Bertukar Tragedi, Lelaki Ditemui Lemas di Sungai
Aktiviti Lombong Emas Bertukar Tragedi, Lelaki Ditemui Lemas di Sungai
KUALA LIPIS – Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti melombong emas di Sungai Berhamah, Merapoh, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi pada 14 Mei lalu, mangsa dikenali sebagai Ayub bin Ahmad, 37, dari Kampung Berhamah, telah pergi ke sungai tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya bagi menjalankan aktiviti melombong emas menggunakan alat pam menyedut pasir.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail bin Man, kehilangan mangsa disedari oleh abangnya sekitar jam 7 malam apabila Ayub tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan.
“Abang mangsa telah pergi ke Sungai Berhamah dan pada jam 9 malam beliau menemui barangan milik mangsa masih berada di tepi sungai. Beliau kemudian segera datang ke Balai Polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pihak polis bersama penduduk kampung melancarkan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
Pada jam 11.30 malam, pasukan penyelamat bersama orang kampung berjaya menemui mangsa sebelum pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Merapoh mengesahkan kematian pada jam 11.45 malam.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. Hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah akibat lemas (drowning) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai terutama melibatkan penggunaan peralatan melombong yang berisiko.-SAHIH