Veteran Dihargai: Kementerian Pertahanan Santuni Wira Lama di Pahang
Veteran Dihargai: Kementerian Pertahanan Santuni Wira Lama di Pahang
LIPIS – Kebajikan dan nasib warga emas veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan apabila Program Peduli Veteran MADANI (PVM) diteruskan di Negeri Pahang, melibatkan kawasan Raub dan Lipis.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program itu merupakan salah satu teras penting kementeriannya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan anggota veteran ATM sentiasa terbela.
“Dalam dua hari ini, kita telah menziarahi 30 orang veteran termasuk dua usahawan veteran. Seorang daripadanya adalah bekas tentera yang kini mengusahakan kedai gunting rambut dan memperoleh pendapatan mencecah RM5,000 sebulan apabila digabungkan dengan pencen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Veteran MADANI ATM Negeri Pahang di Kampung Bapong, Lipis.
Menurut beliau, kementerian turut menyerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada sebahagian veteran sebagai penghargaan kerajaan atas jasa mereka.
Kerajaan terus komited menyalurkan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM500 sebulan kepada veteran dan balu veteran yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). Sehingga kini, lebih 32,000 penerima telah mendapat manfaat tersebut.
“Bagi aspek perumahan, kita telah membina 62 rumah baharu tahun ini dan membaik pulih 220 rumah veteran dengan kos sekitar RM17,000 bagi setiap rumah,” ujarnya.
Turut disentuh ialah kerjasama erat antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membantu menghulur bantuan kepada keluarga veteran termasuk yang mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).
Dalam sesi lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan ganjaran faedah hilang upaya berjumlah RM36,000 kepada seorang veteran yang kehilangan upaya ketika berkhidmat.
Dalam perkembangan berasingan, Adly turut memaklumkan bahawa pendaftaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri kedua masih dibuka sehingga 16 Mei ini bagi mencapai sasaran 550 pelatih. Setakat 11 Mei, seramai 344 pelatih telah mendaftar.
“Semua sudah dimaklumkan dan kita harap pelatih dan keluarga mereka ambil tanggungjawab untuk daftar segera,” katanya.-SAHIH