Turun padang kongsi agenda untuk usahawan Pahang
Turun padang kongsi agenda untuk usahawan Pahang
PEKAN – Satu sesi libat urus bersama usahawan di Pahang akan diadakan secara lebih kerap.
Bermula di Dewan Canselori Sultan Haji Ahmad Shah, DRB-Hicom Universiti, dekat Pekan hari ini, sesi sama bakal diperluaskan ke seluruh Pahang tidak lama lagi.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, sesi berkenaan adalah pendekatan dan cara paling mudah untuk mendekati komuniti usahawan di negeri ini.
“Dalam perkongsian untuk sesi ini, saya mewakili kerajaan Pahang membentangkan pakej Belanjawan negeri yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.
“Teruja apabila sesi libat urus berkenaan mendapat sambutan yang baik – hampir 500 peserta hadir – dan menunjukkan budaya keusahawanan di Pahang sangat subur,” katanya.
Amizar berharap melalui sesi libat urus itu akan memberi nilai tambah kepada usahawan sedia ada dan bakal usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.
“Insya ALLAH… kita turun ke daerah-daerah lain pula untuk sama-sama berkongsi dan menerangkan perkara yang baik daripada Kerajaan Pahang,” katanya. – SAHIH