TVET sedia peluang kerja lebih lumayan
TVET sedia peluang kerja lebih lumayan
BENTONG – Selaras dengan pelancaran Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh kerajaan baru-baru ini, lepasan kolej vokasional menjadi tumpuan majikan utama di negara ini.
Ia secara tidak langsung dapat memberikan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan kepada pelajar yang memilih bidang TVET.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, statistik kebolehpasaran lepasan kolej vokasional dan mereka yang memiliki kemahiran dalam TVET menunjukkan peningkatan saban tahun.
“Modul pembelajaran TVET dilaksanakan di kolej vokasional dapat menghasilkan ramai pelajar dalam bidang seperti automatif, elektrik dan elektronik, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat.
“Semua modul ini disediakan bagi mempersiapkan pelajar mengasah bakat mereka dan menguasai bidang terbabit secara profesional,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, di Taman Kolej, dekat bandar Bentong.
Amizar turut memaklumkan kolej vokasional itu sudah melahirkan pakar dalam bidang mekanikal dan pernah berkhidmat bersama PROTON.
“Antara pelajar yang lahir dari kolej vokasional ini adalah saudara Rahim Mokhtar , anak FELDA Chemomoi yang pernah dinobat sebagai pakar mekanik oleh Proton.
“Dia kini menjadi tenaga pengajar dan panel pembangunan enjin dalam beberapa institusi pengajian di Malaysia.
“Sudah tentu kejayaan Rahim adalah hasil bimbingan hebat oleh tenaga pengajar kolej vokasional Tengku Ampuan Afzan,” katanya.
Amizar turut berharap kejayaan dikecapi Rahim menjadi rujukan dan sumber inspirasi oleh pelajar yang sedang mengikuti latihan di kolej vokasional berkenaan. – SAHIH