Keliling dunia guna Kenari
keliling dunia guna Kenari
KUANTAN – Ketika Jack Voon memberitahu kenalannya mengenai rancangan untuk mengelilingi dunia, ramai yang menganggap dia ‘gila’ dan tidak realistik.
Apatah lagi dia bercadang untuk melakukan ekspedisi itu menggunakan kereta jenis Perodua Kenari.
Kereta itu adalah ‘pemberian’ kenalannya yang menetap di Kuantan, Pahang.
Namun, dengan kesungguhan dan semangat tinggi dimilikinya, Jack yang berasal dari Sarawak kini sudah hampir selesai membuat persiapan.
Minggu lalu, Jack singgah di Kuantan untuk mengubahsuai kereta Kenari yang akan digunakan dalam ekspedisi itu.
Dia ketika ditemui baru-baru ini berkata, proses memasang alat pemanas untuk kereta terbabit akan membantu dia melengkapkan misi itu.
“Kereta kita dah biasa ada penghawa dingin, tapi untuk membawa ke luar negara, kena pasang alat pemanas sebab ada kawasan yang saya akan lalu beriklim sejuk.
“Saya dah cari kedai aksesori di Sarawak untuk pasang alat pemanas ini, tapi tidak ada.
“Jadi saya bawa ke Kuantan selepas dimaklumkan di sini ada bengkel yang memiliki kemahiran untuk memasang alat berkenaan,” katanya.
Proses pemasangan dilakukan di Paka Turbo Garage yang terletak di kawasan perindustrian Semambu, dekat sini.
Jack yang berusia 46 tahun bagaimanapun tidak memaklumkan kos pemasangan alat itu.
“Kosnya masih berpatutan dan memang perlu untuk dipasang pada kereta ini.
“Setakat ini semuanya masih mengikut perancangan walaupun saya akui masih kekurangan dana untuk menjayakan misi ini,” katanya lagi.
Jack turut berkongsi impiannya untuk mempromosikan kebudayaan Borneo sepanjang ekspedisi itu.
Katanya, ia adalah peluang terbaik untuk dirinya membawa budaya unik masyarakat pelbagai kaum di Sarawak bagi dikongsikan bersama rakyat negara lain.
“Saya anggarkan ekspedisi ini akan mengambil masa kira-kira tiga tahun.
“Semua benua akan saya cuba jelajah menggunakan kereta Kenari ini dan saya harap ekspedisi ini akan berjaya.
“Kalau ada pihak ingin menaja ekspedisi ini atau turut menyumbang kepada dana menjayakan ekspedisi julung kali ini, amat saya alu-alukan,” katanya.
Jack dijangka akan memulakan ekspedisi itu awal bulan depan melalui benua Asia sebelum ke Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Selatan.
Dia kemudiannya akan cuba merentasi Antartika sebelum ekspedisi itu berakhir di benua Australia.– SAHIH