Penduduk terkesan banjir gembira terima kunjungan misi bantuan
Foto atas : Sebahagian mangsa banjir merakamkan kenangan bersama-sama sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dan Badan Didikan Islam UDA holdings Berhad (Badim) selepas menerima sumbangan barangan makanan asas dan wang tunai , baru-baru ini.
Penduduk terkesan banjir gembira terima kunjungan misi bantuan
YONG PENG – Penduduk yang terkesan ditimpa bencana banjir terubat apabila menerima kunjungan misi bantuan banjir pasukan sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) bersama Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), baru-baru ini.
Mangsa banjir terbabit melahirkan rasa bersyukur dengan kunjungan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan bebanan mereka selepas banyak peralatan dan perabot dalam rumah rosak dan diseliputi lumpur akibat digenangi banjir bermula pada 10 Mac 2023 lalu.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Sri Gading, Johor, Asmah Kassim, berkata bantuan yang disumbangkan oleh PKMM dan Badim amat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh ahli-ahlinya yang menjadi mangsa banjir.
Katanya, sebanyak 36 rumah ahli PITKM di beberapa kampung sekitar daerah berkenaan ditenggelami banjir apabila air melimpah masuk ke dalam rumah antara paras lutut dan dada menyebabkan banyak barangan seperti perabut, tilam, sofa, peti ais, televisyen dan sebagainya rosak.
“Kedatangan NGO ini untuk membantu membersihkan rumah serta peralatan sangat membantu kerana tidak termampu untuk kami lakukan sendirian dalam keadaan perasaan yang tertekan serta berduka.
“Sumbangan bungkusan makanan asas harian berserta wang tunai walaupun tidak banyak amat menggembirakan dan menyejukkan hati kami yang dalam kalangan ibu tunggal ini,” katanya ketika hadir bersama ahli menerima sumbangan daripada PKMM dan Badim.
Penyelaras pasukan misi bantuan banjir PKMM dan Badim, Azman Rasman, berkata pasukan itu yang turut disertai sukarelawan Hospital Kajang dan Hospital Ampang di Selangor turut membawa 50 bungkusan makanan asas berserta wang tunai dan pakaian terpakai adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk individu prihatin untuk membantu mangsa banjir.
Jelas beliau, di samping itu mereka turut membawa peralatan untuk membantu dalam kerja pembersihan terutama mencuci lumpur yang meliputi lantai dan barangan dalam rumah serta pam bagi menyedut air keluar.
“Dalam masa yang terhad kami hanya mampu membersih beberapa rumah di Kampung Jalan Lama Yong Peng, Kampung Parit Amir, Kampung Parit Tengah termasuk bahagian bawah Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng,” katanya.
Sementara itu aktivis masyarakat, Nordin Mokri, berkata kehadiran pelbagai NGO banyak membantu mangsa banjir apabila ada di antara mereka berasa amat tertekan apabila melihat keadaan rumah ditakungi air banjir yang tidak dapat mengalir keluar kerana berada dalam kawasan rendah.
Menurutnya, dia bergegas datang untuk membantu pasukan sukarelawan PKKM dan Badim apabila dimaklumkan mereka akan mengunjungi kampung berkenaan untuk membantu mangsa banjir dan menagihkan bungkusan barangan makanan asas.
Tambahnya, seperti mangsa banjir dia juga berasa amat terharu kerana ada pihak jauh dari daerah itu sanggup datang walaupun dalam masa terhad bagi menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk meredakan tekanan perasaan mangsa banjir.
Jelas beliau, apabila mangsa banjir berkumpul di satu tempat untuk menerima agihan bantuan itu secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara mereka yang sama-sama ditimpa kesusahan serta dugaan akibat bencana alam berkenaan.
“Daripada pengalaman saya, banjir ini lebih besar berbanding tahun 2006 lalu dan kedukaan mangsa banjir amat terasa apabila terpaksa bersabar dan berjimat kerana mereka juga membuat persiapan untuk persekolahan anak,” katanya. -SAHIH.