Guna Pertimbangan Rasional Sebelum Buat Keputusan
Guna Pertimbangan Rasional Sebelum Buat Keputusan
JERANTUT – Semua perwakilan dan ahli UMNO Bahagian Jerantut perlu menggunakan pertimbangan rasional sebelum mengundi pada pemilihan peringkat Bahagian itu yang dijadualkan bermula pagi ini.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim @ Idris berkata, penilaian dari pelbagai aspek harus dibuat dalam usaha mengembalikan semula semangat ahli UMNO yang tercalar pada PRU15.
“Sebab itulah saya bertekad untuk menjadi calon, kerana saya percaya UMNO masih boleh bangkit semula jika diterajui barisan pimpinan yang berkemampuan,” katanya.
Ahmad Murad yang juga pakar teknologi telekomunikasi menjelaskan, faktor berkemampuan dimaksudkan beliau bukanlah bermakna calon itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh semata-mata.
“Walaupun kita tidak nafikan (calon) perlu ada sumber kewangan, tapi paling utama ialah mereka perlu ada idea yang jelas untuk membantu parti.
“Saya sudah menetapkan agenda untuk UMNO Jerantut dan saya memerlukan sokongan daripada semua perwakilan dan ahli parti untuk menjayakan semua idea ini,” katanya.
Ahmad Murad berharap pemilihan kali ini dapat mengembalikan UMNO Bahagian Jerantut sebagai sebuah organisasi yang mantap dan dihormati.
“Jika dipilih, sudah tentu kita akan bekerja keras dan memastikan semua kerusi yang kita tewas pada PRU15 dapat dirampas semula.
“Selain itu, kita akan bawa suara anak muda, suara belia untuk didengari pucuk pimpinan supaya satu program khusus untuk pembangunan ekonomi, kemahiran golongan ini dapat dilaksanakan,” katanya.-SAHIH.