Air Sungai Telang melimpah kawasan kampung, tujuh mangsa banjir dipindahkan ke PPS Kampung Beletik, Lipis
Foto atas : Sebuah rumah penduduk dinaiki air berikutan paras Sungai Telang meningkat sehingga melibatkan pemindahan tujuh orang mangsa di Kampung Beletik, Lipis Pahang hari ini.
Air Sungai Telang melimpah kawasan kampung, tujuh mangsa banjir dipindahkan ke PPS Kampung Beletik, Lipis
LIPIS – Tanda awal bencana banjir mula melanda di daerah ini apabila seramai tujuh orang mangsa daripada tiga buah keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di masjid Kampung Beletik, Mukim Telang dekat sini hari ini.
Mangsa berkenaan terdiri daripada dua orang warga emas (lelaki dan wanita), dan dua orang lelaki dan tiga orang wanita dewasa.
Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, pemindahan mangsa ke PPS masjid kampung tersebut pada pukul 3.07 petang hari ini berikutan peningkatan paras air Sungai Telang daerah ini dan melimpah memasuki kawasan kediaman penduduk.
“Kita telah memindahkan seramai tujuh orang mangsa daripada tiga buah keluarga ke PPS tersebut. Sehingga malam ini tiada laporan rumah penduduk dinaiki air.
“Mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut diberi bantuan oleh agensi kerajaan dan dipantau oleh petugas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, antara agensi dalam penugasan pemindahan pada petahng hari ini, iaitu Pejabat Tanah Daerah Lipis, Bomba dan Penyelamat Lipis, Polis di Raja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Jabatan Kerja Raya, Penghulu Mukim dan ahli Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Beletik.
Katanya, sehingga malam ini, Bomba dan Penyelamat serta APAM telah membuat pemantauan di kawasan banjir yang terputus hubungan di di kawasan tersebut.
Ujarnya, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Telang, Sungai Jelai, Sungai Tanum dan Sungai Lipis daerah ini dinasihatkan berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.-SAHIH.