Seorang maut dalam kemalangan di KM7, Jalan Lipis-Merapoh
Seorang maut dalam kemalangan di KM7, Jalan Lipis-MerapoH
LIPIS – Kemalangan maut melibatkan dua buah kereta telah berlaku di KM7, Jalan Lipis -Merapoh pada jam 10.30 malam semalam.
Pemandu kereta Vios dari arah Merapoh menghala ke Lipis yang dipandu oleh Poon Zhong Soon berusia 30 tahun yang beralamat di Kampung Sin Lik , Kangkar Bahru, Yong Peng, Johor maut di tempat kejadian.
Manakala kereta Persona dipandu oleh seorang lelaki Melayu bersama isteri dan seorang anaknya dari arah Lipis menghala ke arah Merapoh untuk balik ke rumahnya di Felda Chegar Perah Satu, Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, apabila tiba di tempat kejadian, kereta Vios dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar kereta Persona secara berhadapan menyebabkan kereta Vios terbalik.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Vios meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta Persona dan isterinya mengalami cedera ringan, manakala kanak-kanak berusia 3 tahun cedera di kepala dan masih dalam rawatan pihak hospital Lipis,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, keadaan kereta Vios rosak teruk pada seluruh bahagian dan Persona rosak teruk pada bahagian hadapan. Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Tempat kejadian adalah di kawasan jalan berselekoh, keadaan jalan basah kerana hujan, berturap, bahu jalan berturap, sistem jalan satu lorong satu hala, terdapat garisan tengah putih berkembar sebagai pembahagi lorong dan keadaan gelap tanpa lampu jalan,” katanya.-SAHIH.