Pemandu lori kurier maut dalam kemalangan di KM42, Lebuhraya KLK
Pemandu lori kurier maut dalam kemalangan di KM42, Lebuhraya KLK
BENTONG – Pemandu lori dengan muatan barang kurier berusia 46 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku di KM 42, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak (KLK), hala barat turut melibatkan sebuah treler pada jam 12.50 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu treler dengan muatan biji sawit seberat 50 tan terselamat dalam kemalangan itu.
Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati sebuah lori dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu lori mengubah haluan masuk ke lorong kiri untuk memotong kenderaan di hadapan.
“Tindakan itu mengakibatkan lori itu melanggar bahagian belakang treler yang berada di lorong kiri tersebut ketika itu.
“Pemandu lori tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya melalui siaran media.
Katanya, mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
“Pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta berada dalam keadaan selamat semasa pemanduan,” katanya.-SAHIH.