Seorang datuk seri dan 25 orang ditahan dalam serbuan parti liar di Janda Baik
Seorang datuk seri dan 25 orang ditahan dalam serbuan parti liar di Janda Baik
BENTONG – Seorang bergelar datuk seri bersama 25 orang yang lain ditahan dalam satu serbuan menyertai parti liar di sebuah rumah banglo yang disewa di kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi dekat sini , pada jam 1.00 pagi hari ini.
Dalam serbuan tersebut, terdapat 15 lelaki dan 10 wanita yang berusia antara 18 tahun hingga 64 tahun ditahan kerana berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, seramai 17 warga tempatan dan 8 warga asing terbabit menyertai parti liar itu.
“Dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan, polis telah menjumpai dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram dan pil ecstacy seberat 1.43 gram dan jumlah rampasan dianggarkan RM800.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas 25 orang yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamin,” katanya dalam siaran media, hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama 4 hari bermula 11 Ogos hingga 14 Ogos ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan bagi kes Seksyen 12(2) boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Manakala, kes yang disiasat di bawah Seksyen 2, 15 (1) (A) boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 tau penjara maksimum dua tahun,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di Bentong dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kes jenayah tidak bermoral ini.-SAHIH.