Perpisahan 50 tahun, moga Syawal tahun ini pertemuan menjadi kenyataan
Perpisahan 50 tahun, moga Syawal tahun ini pertemuan menjadi kenyataan
JERANTUT – “Sopia (nama panggilan Batliyah Din) berharap Kak Teh pulanglah di pagi Syawal ini, Sopia rindu sangat-sangat, tapi pulanglah menjelang Syawal ini, walaupun pertemuan sekejap,”kata Batliyah Din, 62 tahun.
Adik kepada Che Putih Din, Batliyah Din, berharap bulan Ramadan dan pertemuan 1 Syawal ini menjadi kenyataan agar kakaknya, Che Putih Din (Kak Teh ) akan muncul dan agar hubungan kekeluargaan kembali bertaut setelah berpisah hampir 50 tahun lalu.
Katanya sejak berpisah, dia tidak henti-henti berdoa lebih-lebih lagi setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Syawal menunggu kepulangan kakaknya.
“Setiap kali berbuka puasa dan menjelang Hari raya Aidifitri, saya sering teringat akan Kak Teh dan terkenang ketika masih kecil bermain bersama lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini rasa kerinduan sangat tidak tertahan lagi dan menerbitkan air mata.
“Ketika arwah ibu dan bapa meninggal dunia pun Kak Teh tidak pulang selepas dia keluar dari rumah pada 1973, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Padang Piol, hari ini.
Kata Batliyah, Kak Teh anak ketiga daripada tujuh beradik bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, tiba-tiba keluar rumah meninggalkan keluarga, kemungkinan arwah bapa dan ibu tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai sudah mempunyai isteri.
“Pada waktu itu, kami sekeluarga tinggal di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas ayah saya, Din Mohamad bersara sebagai anggota polis di Balai Polis Penang Road, Pulau Pinang sekitar awal 70-an dan dua kali Kak Teh membawa lelaki berkenaan meminta persetujuan bapa dan ibu untuk berkahwin, tetapi permintaannya tetap ditolak.
“Ketika Kak Teh meninggalkan kami, saya baharu berusia 15 tahun, manakala dia dalam lingkungan 20-an yang kemudiannya tidak mendengar khabar berita sehingga ini,” katanya.
Batliyah yang kini menetap di Felda Padang Piol sejak dua tahun lalu setelah berkahwin dengan Soid Bidin, 69, yakin kakaknya berada di Pahang atau Pulau Pinang.
“Saya pernah mendengar perkhabaran daripada seorang ahli keluarga kami, Kak Teh bersama suami yang dinikahinya berhijrah ke Pahang mencari kerja sekitar 1974 atau 1975 dan ada yang menyatakan dia tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Namun, saya pernah beberapa kali cuba mencarinya di Balik Pulau, tetapi hampa kerana tidak berjumpa dan tidak tahu lagi di mana Kak Teh tinggal walaupun dipercayai dia berada di Pahang,” katanya.
Batliyah menambah, Kak Teh kini dianggarkan berusia 70-an merupakan seorang kakak yang cukup penyayang kerana sewaktu berusia kanak-kanak, dia (Kak Teh) kerap membeli baju baharu setiap hujung bulan ketika mendapat gaji kerja kilang, malahan banyak berbelanja untuk keluarga ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kenangan itu, menyebabkan saya sangat merinduinya dan hiba serta berharap Kak Teh muncul di pagi Syawal ini, lupakan kisah lama kerana masing-masing sudah pun berusia lanjut dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT.
“Kak Teh datanglah ke Felda Padang Piol menemui saya dan kita boleh mengatur pertemuan supaya dapat bertaut kembali dengan adik-beradik yang lain dan masih tinggal di Kedah dan Perlis,” katanya.
“Saya berharap orang ramai terutamanya Che Putih (Kak Teh) atau warisnya yang membaca kisah ini dapat menghubungi saya menerusi talian 014- 6389428 atau datang ke rumah bernombor 410 Felda Padang Piol, Jerantut, sekiranya Kak Teh uzur, saya sanggup pergi berjumpanya.
“Semoga Kak Teh pulanglah agar mengubati kerinduan saya dan bertaut kembali bersama keluarga kita sempena bulan yang mulia dan sambil memeriahkan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pintu rumah saya terbuka luas untuk Kak Teh, ” katanya.-SAHIH.