PENUNGGANG BASIKAL MAUT DILANGGAR TRELER
PENUNGGANG BASIKAL MAUT DILANGGAR TRELER
SLIM RIVER: Seorang penunggang basikal wanita maut, selepas terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer (km) 104 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.
Kejadian membabitkan wanita yang berumur 58 tahun itu berlaku berhampiran lampu isyarat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata polis menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
“Wanita yang menunggang basikal terbabit dalam perjalanan dari arah Behrang menuju ke arah Sungkai.
“Apabila tiba di lampu isyarat, tiba-tiba datang treler yang dipandu oleh lelaki berumur 39 tahun dari belakang menggilis basikal terbabit,” katanya hari ini, lapor HM online
Sulizmie Affendy berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya.
“Pemandu ditahan untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.