VAN PEJABAT PENERANGAN BUNYI BACAAN TALKIN
VAN PEJABAT PENERANGAN BUNYI BACAAN TALKIN
JERANTUT : Audio yang dimainkan oleh van Jabatan Penerangan Jerantut memberi penerangan dan nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah semasa pandemik Covid-19 dengan bunyi seperti bacaan talkin di kuburan satu inisiatif kreatif untuk mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada.
Pendekatan itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah untuk membenteras wabak tersebut selain menginsafkan penduduk mengenai bahayanya ancaman pandemik Covid-19, malahan sudah terbukti jutaan manusia maut di peringkat gobal ketika Bandar Jerantut kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Seorang remaja, Afina Huda Amir yang tinggal di Taman Inderapura berkata, pada mulanya dia terkejut dengan bunyi audio yang kuat keluar dari corong pembesar suara daripada van itu seolah mendengar talkin, tetapi beranggapan satu cara terbaik untuk mengingatkan orang ramai.
“Seram dan menginsafkan, hebahan Pejabat Penerangan itu meminta orang ramai berwaspada mengenai ancaman penularan pandemik Covid-19 semasa di Bandar Jerantut dalam PKPD amat dipuji.
“Saya dimaklumkan van tersebut bergerak dari satu taman perumahan dan penempatan untuk membuat hebahan,” katanya.
Seorang penduduk Taman Koperasi dekat sini, Nasruddin Ramli berkata, ayat talkin iaitu berbunyi ‘Wahai insan … seandainya ajal kamu sudah sampai … maka pergilah kamu menghadap Tuhan kamu tanpa iringan insan tersayang …. ‘ cukup menyeramkam pendengar.
“Itulah antara pendekatan terbaik yang boleh menginsafkan penduduk lebih-lebih lagi ketika penularan wabak Covid-19 masih belum ada tanda berpenghujung.
“’Betul apa yang disebarkan itu … bagi keinsafan pada yang masih berdegil langgar SOP itu, kesan bunyi yang digunakan bersesuaian,” katanya. SAHIH.