POLIS TAHAN 2 LELAKI KES TEMBAK BUKIT BESI
Berita Jenayah
POLIS TAHAN 2 LELAKI KES TEMBAK BUKIT BESI
DUNGUN: Polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan kes seorang lelaki terkena tembakan di Kampung Besul, Bukit Besi di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata suspek pertama berusia 48 tahun ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi. Tangkapan itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 50 tahun di rumahnya kira-kira jam 10.50 malam.
“Kedua-dua suspek penduduk tempatan. Suspek pertama mengaku dia dipanggil suspek kedua ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera ketika memburu dalam Hutan Simpan Besul. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi.
Baharudin berkata, suspek yang ditahan mengaku pergi memburu kijang di kawasan hutan terbabit dan tertembak mangsa.
“Suspek juga mengaku bahawa senapang itu adalah milik mangsa dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 37 Akta Senjata Api,” katanya.
Dalam kejadian 25 September lalu, mangsa berusia 34 tahun cedera selepas terkena tembakan ketika sedang menahan jerat di hutan terbabit, kira-kira jam 2.30 petang.
Ketika duduk di akar pokok untuk menyiapkan jerat ayam hutan, mangsa terdengar bunyi tembakan dan merasa sakit di belah kanan badan.
Mangsa yang menahan kesakitan menunggang motosikal pulang ke rumah meminta bantuan sebelum dikejarkan bapanya ke Klinik Kesihatan berhampiran.
X-Ray terhadap mangsa mendapati terdapat satu peluru di bahagian perut, satu peluru di bahagian pinggul dan serpihan peluru di bahagian tulang belakang.
Sumber: BH Online