KERAJAAN DIGESA DENGAR SUARA RAKYAT
KERAJAAN DIGESA DENGAR SUARA RAKYAT
PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebuah kumpulan alam sekitar meminta penyertaan masyarakat yang lebih aktif dalam pengurusan hutan di negara ini.
Aktivis PSM, Sharan Raj berkata, aktiviti pembalakan tidak terkawal tanpa pengawasan adalah penyebab utama masalah banjir berulang di negeri tertentu, iaitu Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, setiap keputusan membabitkan kegiatan perhutanan tidak boleh diserahkan kepada kerajaan negeri semata-mata kerana ada keperluan untuk semak dan imbang yang efektif daripada pihak lain, lapor Free Malaysia Today.
Katanya, ketika ini, kerajaan melalui ketua menteri memiliki kuasa sebelah pihak dalam memutuskan tindakan yang perlu terhadap hutan milik negeri.
“Ketua menteri tidak sepatutnya mempunyai kuasa mutlak, penyertaan orang ramai amat diperlukan serta sebarang keputusan membabitkan aktiviti hutan, seperti pembalakan, perladangan atau membatalkan status gazet hutan, tidak boleh dilakukan tanpa berunding dengan masyarakat terlebih dahulu.
“Ini termasuk konsesi pembalakan yang diberikan,” katanya ketika sidang media maya.
GAMBAR HIASAN
Beliau turut mencadangkan rekod maklumat kegiatan hutan disediakan untuk dinilai orang ramai.
Selain itu, beliau mendesak kerajaan tidak meluluskan permit bagi mana-mana produk pembalakan yang datang dari hutan simpan.
Katanya, undang-undang berkaitan hutan lemah dan mempunyai banyak kelemahan.
“Ada keperluan untuk mengkaji, meminda dan memperkukuhkan Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Untuk memastikan kerajaan mendengar gesaan mereka, PSM menyerahkan memorandum kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 20 Jan lalu untuk meminta aktiviti pembalakan tidak terkawal dihentikan.
Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa kerajaan menghentikan amalan pertanian monokultur.
“Walaupun pertanian monokultur dilihat memberi bonus berganda kepada negara, kerugian yang dibawanya melebihi pendapatan diraih,” kata Exco PEKA, Damien Thanam Divean.
HENTIKAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN - SAHIH
January 25, 2021 @ 7:51 pm
[…] https://sahih.com.my/kerajaan-digesa-dengar-suara-rakyat/#.YAuPB6HeQ4g.whatsapp […]