AISHAH: BURUK DAN BERDOSAKAH SAYA?
“BERI saya ruang dan masa untuk bertenang. Saya sudah cukup penat dengan semua ini. Netizen sekarang benar-benar kurang ajar.”
Itu luahan hati penyanyi legenda Aishah kepada HibGlam tatkala membuka bicara menerusi isu yang masih hangat berhubung persembahan lagu Aku Bidadari Syurga.
Menerusi perbualan ringkas tersebut, pelantun yang popular dengan lagu Janji Manismu itu mengakui memerlukan sedikit ruang dan masa untuk berehat selain menenangkan diri.
Ujarnya, kecaman dan hentaman hebat daripada segelintir netizen usai membawakan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza pada saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) minggu lalu masih berbekas di lubuk sanubarinya.
“Tipu kalau saya tidak terasa dengan apa yang berlaku. Selama hampir 35 tahun berkecimpung dalam industri, ini antara yang sukar dilupakan dan benar-benar tersimpan dalam hati.
“Kadang-kadang ada masanya terdetik dalam fikiran, buruk dan berdosa sungguhkah saya ini pada pandangan mata mereka,” luahnya.
Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 55, beliau tidak akan sesekali terasa hati seandainya komen dan hentaman yang dilemparkan berkenaan teknik vokal atau persembahan semata-mata.
Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah jika komen-komen tersebut menyentuh berkenaan ilmu nyanyian tetapi bukan soal peribadi.
“Komenlah perkara-perkara yang berkenaan secara berhemah bukannya sesuka hati memaki hamun, menghina sehingga menjatuhkan maruah seseorang.
“Menangis, sedih dan keliru semuanya bercampur-baur saat itu. Kadangkala terfikir sejenak adakah mereka yang sering memaki hamun dan melemparkan kata-kata kesat ini adakah mereka tidak diajar ibu bapa.
“Apa yang mereka hentam dan cerca seolah-olah seperti sudah bertahun lamanya mengenali saya hingga menyentuh soal peribadi yang mereka sendiri tidak tahu,” ujarnya.