KAMPUNG BANTAL MULA DINAIKI AIR
PARAS AIR SUNGAI PAHANG MASIH BERTAHAN
JERANTUT: Hujan berterusan sejak pagi tadi menyaksikan paras air Sungai Tembeling , terutamanya berhampiran kawasan Taman Negara Ulu Tembeling, dekat sini, mulai melepasi paras berjaga-jaga.
KEDAI makan berhampiran jeti Kampung Bantal dinaiki air kira-kira 1 meter
Antara kawasan yang mula dinaiki air ialah Kampung Bantal yang terletak di laluan utama Sungai Tembeling .
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, paras air Sungai Tembeling mula melimpah dan memasuki kawasan perkampungan kira-kira jam 5 petang tadi.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali
“Sebanyak lapan kedai makan yang terletak berdekatan Sungai Tembeling dinaiki air sehingga 1 meter.
“Menjelang lewat petang tadi, paras air Sungai Tembeling masih bertahan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, penduduk di Kampung Bantal sudah diminta supaya bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan cuaca buruk berterusan malam ini.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud
“Mengikut rekod yang kita ada, terdapat 560 penduduk di kampung berkenaan dan jika berlaku banjir, mereka akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Bantal,” katanya.
Kawasan perkampungan mula digenangi air berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam
Beliau berkata, penduduk juga sudah dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan paras air serta berpindah ke PPS disediakan sebaik diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.