FELDA Lambang Kejayaan rakyat Pahang – MB
Foto : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Program Trieco Gahai Challenge (The Gahalon 2025) yang diadakan di kampung halaman sendiri iaitu Kampung Tanjung Gahai, Lipis.
FELDA Lambang Kejayaan rakyat Pahang – MB
LIPIS – Pahang terus membuktikan kedudukannya sebagai peneraju kemajuan luar bandar apabila tanah rancangan FELDA menjadi lambang kejayaan rakyat serta perpaduan bangsa, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, FELDA bukan sekadar simbol pembangunan tanah, sebaliknya medan perjuangan rakyat Pahang yang membuktikan keberanian dan ketabahan generasi peneroka mengubah kawasan pedalaman menjadi pusat kemakmuran ekonomi.
“FELDA membina kehidupan, menegakkan maruah dan menjadi medan perjuangan ekonomi bangsa. Nilai inilah yang menyuburkan semangat Malaysia MADANI,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Satelit MADANI Rakyat 2025 di Sungai Koyan.
Beliau turut menghargai jasa peneroka awal FELDA Sungai Koyan, yang dibuka pada 1970 dan terdiri daripada veteran tentera. Kawasan yang dahulunya zon keselamatan kini menjadi simbol kejayaan rakyat Pahang yang gigih dan berjiwa besar.
Menurutnya, semangat juang generasi terdahulu menjadi asas kepada Aspirasi Pahang 1st berteraskan kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua. Kerajaan negeri komited memperjuangkan kebajikan warga peneroka termasuk kejayaan menyelesaikan 96 peratus pemberian hak milik tanah FELDA, melibatkan 41,522 peneroka.
Selain itu, Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) diperkenalkan dengan 16,035 lot rumah bagi membantu generasi baharu memiliki kediaman sendiri. “Inilah wajah FELDA moden dan lestari — bukan hanya bertahan dalam sejarah, tetapi melangkah dengan keyakinan dan kebanggaan sebagai anak Pahang,” katanya.
Kerajaan negeri turut memperkukuh kerjasama strategik bersama FELDA menerusi penyertaan dalam FGV Holdings Berhad serta penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang bagi memastikan tiada peneroka tercicir.
Wan Rosdy turut memuji penglibatan ATM sebagai rakan pembangunan komuniti dalam program berkenaan. Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus melaksana dasar berasaskan tujuh teras Aspirasi Pahang 1st dan menyeru rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah, sebaliknya menilai kerajaan berdasarkan prestasi dan bukti nyata.-SAHIH.
