Jerantut – Lipis dapat jalan baharu, singkat perjalanan, masa
Foto : Jalan baharu yang menghubungkan Kampung Mela, Lipis ke Kampung Labu, Jerantut
Jerantut – Lipis dapat jalan baharu, singkat perjalanan, masa
JERANTUT : Penduduk Jerantut dan Lipis kini boleh menarik nafas lega apabila jalan baharu yang menghubungkan Kampung Labu, Jerantut ke Kampung Mela, Lipis dibuka secara rasmi mulai esok, sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Jalan sepanjang 17 kilometer itu siap 17 hari lebih awal daripada jadual asal, hasil Projek Reka dan Bina yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak 20 Mac 2018.
Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan dari 60 kilometer kepada hanya 17 kilometer, malah mengurangkan masa perjalanan daripada sejam kepada kira-kira 15 minit sahaja.
Laluan baharu itu juga menjadi jalan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut dengan Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis.
Pengerusi JPKK Batu Balak, Johari Umar, menyifatkan projek itu membawa manfaat meluas termasuk kepada penduduk di sepanjang Sungai Tembeling, FELDA, FELCRA serta Kuala Tahan. Malah, jalan baharu memendekkan perjalanan ke Kuala Lipis daripada dua jam setengah kepada hanya sejam.
“Projek ini diyakini memberi lonjakan ekonomi luar bandar, khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama masyarakat setempat.
“Pembinaan jalan dan jambatan ini juga dianggap simbolik kerana disiapkan bersempena Hari Kebangsaan, mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh pembangunan infrastruktur desa seiring aspirasi Malaysia MADANI,” katanya. -SAHIH.