Lelaki ditahan miliki Dadah dan peluru hidup di Lipis
Foto : Superitendan Ismail Man (tengah) menunjukkan beberapa peluru yang dirampas, kelmarin.
Lelaki ditahan miliki Dadah dan peluru hidup di Lipis
LIPIS – Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis selepas dipercayai memiliki sejumlah peluru hidup serta dadah dalam satu serbuan di Kampung Mentara Baru, di sini, pada jam 6.10 pagi, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam serbuan di sebuah rumah, polis merampas satu paket plastik lutsinar berisi ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat kira-kira 31 gram.
“Selain itu, turut ditemukan satu lagi paket mengandungi tujuh biji pil berwarna kemerahan bercetak huruf ‘WY’ yang disyaki dadah jenis pil yaba dengan anggaran berat 1.10 gram.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi tersebut juga menemukan 25 butir peluru hidup pelbagai warna untuk senapang patah jenis 12 bore, iaitu sembilan butir hijau, tujuh butir merah, dua butir biru, enam butir putih dan satu butir coklat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam penagihan dadah jenis ganja dan pil yaba sejak lima tahun lalu, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
“Suspek kini direman tiga hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.-SAHIH.