Penebang balak hilang sejurus tahu anaknya meninggal
Foto : Mangsa yang hilang, Severinus Jakim, 37, dilaporkan bergegas meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan untuk pulang ke Sabah sebaik dimaklumkan anaknya meninggal dunia.
Penebang balak hilang sejurus tahu anaknya meninggal
JERANTUT – Seorang penebang balak dilaporkan hilang di kawasan Hutan Simpan Tekal, di Ulu Tembeling di sini, sejak empat hari lalu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Mohammad berkata, mangsa Severinus Jakim, 37, dilaporkan bergegas meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan untuk pulang ke Sabah sebaik dimaklumkan anaknya meninggal dunia.
Menurutnya, lelaki terbabit berasal dari Kampung Rompon, Tambunan, Sabah, dilaporkan meninggalkan rumah kongsi mereka dengan membawa sebuah beg pakaian, kira-kira jam 10:35 malam, 19 Julai lalu.
“Lelaki terbabit keluar rumah kongsi itu dalam keadaan panik dan menangis pada malam tersebut sambil membawa sebuah beg pakaian sebaik mendapat maklumat anaknya meningal dunia, lelaki terbabit berjalan keluar seorang diri melalui jalan balak.
“Rakan mangsa bimbang keselamatan lelaki terbabit dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Tembeling, jam 5:51 petang semalam.” katanya.
Zukri berkata, kali terakhir lelaki terbabit dilihat memakai kemaja T berwarna biru dan bertopi, lokasi lelaki terbabit dilaporkan hilang adalah kawasan hutan tebal.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai polis serta bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan sejak jam 9 pagi tadi dan hingga kini lelaki terbabit belum ditemui.
“Operasi SAR akan dilakukan semula pada esuk hari dengan bantuan APM, Bomba dan Unit Anjing Pengesan (K9), ” Katanya – SAHIH.
