NACF Korea Teruja Pelajari Model Koperasi Pertanian Malaysia
NACF Korea Teruja Pelajari Model Koperasi Pertanian Malaysia
KELANA JAYA – Pertemuan dua gergasi koperasi dalam sektor pertanian berlangsung penuh bermakna apabila delegasi dari Cooperative Restructuring Department, National Agricultural Cooperatives Federation (NACF), Korea Selatan, mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat ANGKASA, hari ini.
Delegasi seramai 10 orang itu diketuai Timbalan Pengurus Besar Bahagian Penstrukturan Koperasi NACF, Kim Jeong-Dae bersama barisan pengurusan kanan dari ibu pejabat pusat dan wilayah serta beberapa anggota koperasi.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau model penambahbaikan struktur koperasi luar negara, khususnya dalam pembangunan sektor pertanian dan penternakan, selain meneroka peluang kerjasama dalam tadbir urus koperasi yang lebih mampan.
Kehadiran mereka disambut oleh Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail yang juga Ahli Lembaga Eksekutif International Cooperatives Agriculture Organisation (ICAO), mewakili Presiden ANGKASA.
Turut hadir, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Mohamad Ali Hasan dan Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Dalam sesi taklimat, Datuk Kamarudin turut membentangkan pencapaian koperasi pertanian dan penternakan di Malaysia serta peranan ANGKASA dalam membangunkan industri koko, cendawan tiram dan ekosistem penternakan ayam di bawah platform koperasi.
Program itu turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Pembangunan Koperasi, Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Besar Pertanian Asas Tani dan Perladangan, Muhammad Zuhid Jamaludin; serta Pengurus Besar Antarabangsa, Dr. Noraini Mohamad.
Untuk rekod, NACF merupakan koperasi keempat terbesar di dunia yang mewakili lebih 2.04 juta petani menerusi 1,111 koperasi pertanian dan ternakan di Korea Selatan.
Mereka turut mengendalikan perniagaan pemasaran pertanian dan kewangan menerusi dua syarikat induk serta 28 anak syarikat.-SAHIH