Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Perkukuh Kerjasama Industri dan JBPM Pahang
Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Perkukuh Kerjasama Industri dan JBPM Pahang
KUANTAN, – Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang hari ini membuka ruang kerjasama lebih erat antara agensi keselamatan itu dengan sektor industri serta jabatan kerajaan.
Majlis yang berlangsung di Hotel Zenith itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, yang hadir mewakili Menteri Besar Pahang.
Dalam ucapannya, Dato’ Indera Nazri menegaskan bahawa aspek keselamatan kebakaran tidak seharusnya dipandang ringan sebaliknya perlu dijadikan keutamaan dalam pengurusan premis kerja dan bangunan awam.
“Keselamatan kebakaran bukan satu pilihan tetapi satu keperluan asas yang memerlukan komitmen semua pihak,” katanya.
Beliau turut memuji usaha JBPM Negeri Pahang dalam menganjurkan seminar seumpama itu yang disifatkan mampu meningkatkan kesedaran dan ilmu berkaitan pengurusan risiko kebakaran.
Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Pahang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Razam Taja Rahim berkata, seminar ini merupakan satu inisiatif jabatan dalam memperkukuh hubungan strategik bersama pihak swasta dan agensi kerajaan.
Menurut beliau, pihaknya amat menghargai sokongan Kerajaan Negeri Pahang terhadap setiap program yang dilaksanakan JBPM termasuk penganjuran seminar berkenaan.
“Dengan kehadiran lebih 500 peserta, termasuk pemain industri, kontraktor dan wakil agensi kerajaan yang memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC), seminar ini menjadi medan perkongsian cabaran dan amalan terbaik dalam sistem keselamatan kebakaran,” ujarnya.
Seminar itu turut menampilkan pelbagai pengisian seperti pembentangan teknikal berkaitan pematuhan undang-undang kebakaran, sesi dialog bersama pegawai kanan JBPM dan pameran teknologi keselamatan daripada 10 penyedia perkhidmatan.
JBPM berharap penganjuran seminar ini mampu menyemai budaya kerja lebih selamat dan berkesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.-SAHIH