Koperasi Pahang rekod perolehan RM1 bilion lebih awal
Koperasi Pahang rekod perolehan RM1 bilion lebih awal
TEMERLOH – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang berjaya mencapai sasaran perolehan RM1 bilion bagi tahun 2023 dan tahun ini, berbanding sasaran ditetapkan pada 2025.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata ini bermakna koperasi di negeri ini mencapai sasaran ‘Road to 1 Billion 2025’ dua tahun lebih awal daripada sasaran ditetapkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang 2022.
“Datuk Seri (Wan Rosdy) pernah mengumumkan ‘Road to 1 Billion 2025’ dan Alhamdulillah kita capai awal… iaitu pada tahun 2023 dan bagi tahun ini juga kita telah mencapai RM1 bilion di koperasi Pahang.
“Saya ucapkan terima kasih dan juga tahniah serta syabas kepada seluruh penggerak dan juga semua pihak yang menggerakkan koperasi di Pahang… untuk mencapai RM1 bilion yang sepatutnya dicapai pada tahun 2025 tapi dicapai lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Pahang di Dewan Tun Razak, dekat sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Amran Abd Kadir; Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli dan Pengarah SKM Pahang, Ibrahim Husain.
Amizar berkata, sebanyak 1,178 koperasi berdaftar di seluruh Pahang dengan keanggotaan sebanyak 300,005 dengan aset didaftar bernilai RM1.5 bilion.
“Ini satu pencapaian yang tinggi di mana ‘share’ anggota adalah sebanyak hampir RM450 juta dengan jumlah perolehan sudah menjangkau RM1.07 bilion.
“Dan bagi memastikan pencapaian ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, kita mahu lakukan proses pemutihan secara berterusan di negeri ini… sama ada membatalkan pendaftaran koperasi dorman yang tidak dapat dipulihkan atau mengaktifkwn semula koperasi yang tidak aktif.
“Program pemutihan di peringkat koperasi hendaklah dilakukan dengan membuat kajian dan menyingkirkan apa-apa aktiviti perniagaan yang tidak mendatangkan hasil dan merugikan koperasi,” katanya. – sahih